31 January 2010

masa

sekejap sahaja sudah habis bulan pertama 2010. begitu cepat sekali masa berlalu. ataupun begitu banyak masa kita terbuang tanpa aktiviti. entah. yang pasti, perasaan kita mengatakan masa cepat berlalu. tidak mungkin jam itu bergerak lebih cepat sekarang berbanding dahulu. sudah pastinya satu saat sekarang masih lagi sama dengan satu saat 50 tahun dahulu. matahari tetap terbit pagi hari. tetap tenggelam maghrib nanti.

pasti rasa cepat masa berlalu itu berkait dengan aktiviti harian kita. itu sahaja yang berbeza dari 50 tahun yang dahulu. jadinya siapakah sebenarnya yang menyebabkan masa berlalu pantas? sama-sama kita fikirkan.

21 January 2010

soalan demi soalan

ketika kita dalam perut ibu,
terdengar orang bertanya bila nak bersalin tu?

masa kita masih dalam kandungan,
ramai orang tanya lelaki ke perempuan?

bila orang terima berita kita dilahirkan,
ada juga yang tanya normal ke cesearean?

waktu kita usia sebulan dua,
orang tanya lagi, dah boleh buat apa?

ketika kita masuk bulan ketiga empat,
terdengar orang bertanya, bila nak meniarap?

masa kita dah meniarap pulak,
ramai orang tanya dah merangkak ke tidak?

bila orang tengok kita merangkak sakan,
ada juga yang tanya, bila nak berjalan?

waktu kita dah berjalan gagah,
orang tanya lagi, dah pergi sekolah?

ketika kita sudah kerja gomen,
terdengar orang bertanya, bila nak kahwin?

masa kita bulan madu dengan isteri,
ramai orang tanya bila nak dapat anak ni?

bila orang tengok kita dah anak satu,
ada juga yang tanya, tak nak tambah anak lagi satu?

waktu kita dah ada anak bongsu,
orang tanya lagi, bila nak dapat menantu?

ketika kita bahagia dengan anak menantu,
terdengar orang tanya, bila nak dapat cucu?

hidup ni tak pernah aman dengan soalan orang. cuma satu saja soalan yang mungkin orang tak tanya. kurang ajar mungkin jawapan yang dapat bila tanya. soalan... bila nak mati?

19 January 2010

makan

saya selalu memerhatikan perkembangan Auni. dari segi kemahiran. tak terasa masa dah berlalu. tak sangka dia tahu beberapa kemahiran. mungkin kerana ketika Fakhri membesar, sudah ada Auni menjadikan Fakhri tidak lagi dianggap sebagai bayi. tetapi Auni masih lagi dianggap bayi oleh saya.

tak sangka yang Auni sudah tahu pegang botol susu sendiri. tidak pernah diajar. kerana di rumah dia minum susu terus dari ibu. tak pernah diberi botol. bila sudah habis minum, dia hulurkan botol sambil berkata, nah. ataupu dia akan letakkan di lantai. bila Fakhri yang minum susu, dia paling sibuk nak tutup botol susu Fakhri.

sekarang Auni paling sangat suka makan. makanan kegemarannya ialah biskut dan nasi. sekali makan biskut, dia boleh habiskan 4-5 keping Jacob's wheatameal. dan dia sudah tahu mintak biskut. dia akan berdiri di tepi meja makan dan menjerit, kuk. sambil tangan menunjuk ke atas meja. dan Auni makan, tidak bersepah. jika diberi sekeping, makan sekeping lah habis dimakan. yang jatuh kelantai hanyalah serpihan-serpihan kecil akibat dari mengigit.

kalau nasi memang Auni akan duduk mengadap kita yang menyuap. tidak akan ke mana-mana selagi tidak kenyang makan. itu Auni dan bab makan. Fakhri lain pula ceritanya. dia cuma makan apa yang dirasakannya sedap. seperti ikan, ayam, kismis, cereal, roti dan pisang. sangat cerewet Fakhri kalau berkenaan makanan. susah sekali nak tengok dia makan nasi dengan besungguh-sungguh. setakat ini, Fakhri cuma makan nasi bersungguh-sungguh bila lauknya adalah sup. daging, ikan, ayam hatta sayur pun dia makan. janji dalam bentuk sup.

itulah... kisah anak dan makan.

17 January 2010

masyarakat

bagi penduduk negeri selangor, hari sabtu adalah hari bebas beg plastik. bermula sabtu minggu lepas, kerajaan negeri telah mewartakan hari sabtu sebagai hari tidak menggunakan beg plastik. sejajar dengan itu, beberapa pusat membeli-belah terkemuka mengurangkan penggunaan beg plastik ini. ada yang mengenakan caj tambahan sekiranya anda nak juga beg plastik.

akan tetapi seperti biasa, akan ada orang yang skeptik kepada sesuatu perubahan. kempen ni bukanlah nak memaksa masyarakat setiap sabtu bayar lebih untuk dapatkan beg plastik. tetapi lebih kepada penerapan kesedaran. tadi saya melihat ada beberapa orang yang memberikan reaksi agak sinis apabila juruwang menyatakan hari ini beg plastik akan dicaj sebanyak 20 sen setiap satu. kasihanlah juruwang tu kena tanya macam-macam.

itu pertama tentang masyarakat disekitaran saya. keduanya beratur. kenapakah agak sukar lagi untuk kita ni beratur bila menunggu sesuatu? seperti tadi. orang yang sama sinis tentang beg plastik itu dengan tanpa rasa bersalah memotong barisan. dengan kawasan yang agak sempit, tidaklah yang beratur itu lurus. bengkok dan mengelilingi kaunter bayaran. dia dengan muka tak malu datang menyelit dan terus memotong barisan. menjadi rakyat malaysia, orang yang dipotong itu tidak menegur. mungkin sebab dia perempuan. muda lagi. yang memotong barisan tu, lelaki dah agak berumur.

ketiga, isu yang tak habis-habis. isu yang masih lagi menghairankan aku. terlalu jelas tapi kenapa masih tidak disedari. ada benarnya apa yang pepatah gambarkan. kuman diseberang laut nampak, gajah didepan mata tidak nampak. hairan sungguh saya dengan perempuan. menutup aurat tetapi masih telanjang. pagi ini saya nampak lagi satu contoh. seorang perempuan. mengandung mungkin 4 bulan. memakai baju ibu mengandung. warna putih. dari kain kapas. anda mungkin boleh bayangkan juga.

sebagai lelaki normal, dan lelaki normal yang lain juga, pasti akan rasa "segan" bila melihat. baju mengandung putih dipadankan dengan tudung hitam bermanik kristal. cantik. tetapi nampak juga, colinya berwarna hitam dan seluar dalamnya berwarna merah hati. mungkin saya terlalu terus-terang. tetapi itulah yang ditayangkan. itulah yang ditunjukkan. apa guna tudung hitam yang cantik dikepala? bak kata nabil, lu pikirlah sendiri.

15 January 2010

Manikam kalbu

pagi tadi di siaran MHI, tetamu jemputannya adalah FT. memang saya dah tahu pun dia akan keudara di MHI kerana dimaklumkan dalam blognya. saya memang menanti. natijahnya, hari ini keluar sedikit lambat ke pejabat. tak mengapa, masih lagi sampai sebelum waktu merah.

FT keudara kerana jemputan MHI untuk berbincang tentang buku bertajuk manikan kalbu. buku ini telah menang dua anugerah dan akan dianugerahi sekali lagi hari isnin ini. saya dah baca buku ini lama dulu. dan sememangnya, seperti buku-buku FT yang lain, buku ini memberikan sesuatu ilmu yang baru kepada pembacanya. walalupun buku ini ialah sebuah novel. dikategorikan novel remaja lagi.

kisahnya berkisar tentang tukang jahit di dua zaman diceritakan secara selang-seli. tukang jahit di zaman kesultanan melaka dan tukang jahit di zaman sekarang. setelah membaca buku ini, banyak jugalah maklumat baru yang diketahui tentang busana melayu. tentang asal usul baju kurung. untuk lelaki dan wanita. ya benar. baju kurung dan baju melayu adalah sebenarnya dipanggil baju kurung. sekarang kita ini sahaja yang menggelarnya baju melayu dan baju kurung.

baju kurung wanita siap dengan kain. baju kurung lelaki siap dengan seluar. leher dijahit dua cara. lelaki cekak musang. wanita teluk belanga. mesej yang cuba disampaikan oleh FT dalam buku ini ialah melayu itu mencipta sesuatu, hatta busana sekalipun penuh dengan falsafah. antara contoh, kenapa butang baju cekak musang lima. kena butang baju teluk belanga satu. kenapa dipanggil baju kurung. memang sangat menarik dan sebenarnya menaikkan rasa kecintaan kepada bangsa dan sekaligus agama.

saya memang sangat-sangat menyarankan bacalah buku ini. memang tidak rugi. oh ya. manikam kalbu itu bukanlah nama busana. tetapi kucing belaan tukang jahit. harap maklum.

14 January 2010

restoran mamak

setiap kali ke kedai mamak untuk menikmati tosai lembut, roti kosong garing, capati sedap, nan hebat, atau cuma mencuba teh tarik kau, mereka berdua pasti jadi tumpuan. ya mereka berdua. Fakhri dan Auni.

entah kenapa pelayan-pelayan restoran mamak sangat sukakan mereka berdua. mesti ada yang datang ke meja kami bukan setakat untuk ambil pesanan, tetapi juga untuk menegur Auni atau Fakhri. kadang-kadang siap dicubit-cubit pipi mereka.

tak kurang juga mereka berdua dapat makanan percuma. biasanya papedom sepiring. ataupun hanya satu lolipop. sungguh bertuah mereka bila ke restoran mamak.

13 January 2010

dah besar

Fakhri baharu saja mencecah 2 tahun. Auni pulak genap setahun sebulan lebih awal. Kedua-duanya sudah pandai kerjasama bila beraktiviti. bermain. makan. termasuklah menangis. sekarang Fakhri sudah pandai berkongsi makanan dengan adiknya. Bila dia makan, pasti dia akan ambil satu dan beri kepada adiknya. maklumlah, kegemaran sama. kedua-dua suka sangat dengan keropok, biskut dan apa juga jenis kerepek. pedas, masin atau lemak manis.

kedua-dua juga tidak gemar makanan yang sama. Fakhri tidak suka makan kek. lebih-lebih lagi kek yang berkrim. Auni pun. Masa harijadi mereka berdua, kek cuma mereka potong sahaja. yang memakannya, sepupu-sepupu mereka. Tapi Fakhri dan Auni sukakan coklat. mereka berdua boleh diam dan duduk makan dengan bersungguh-sungguh sehingga habis bila dapat makanan kegemaran.

jadinya, senang sekarang ini kalau nak suruh mereka dia. bagi makan. bolehlah buat kerja rumah. alhamdulillah!

11 January 2010

alahan

petang tadi ke klinik. tujuannya untuk suntikan Auni. suntikan vaksin pilihan. Pneumococcal vaccine. untuk mengelakkan penyakit otitis media, pneumonia, meningitis. usaha kita.

saya beritahu kepada doktor tentang alahan Auni. dan saya beritahu juga saya syak alahan disebabkan oleh telur. terus doktor tanya sudahkan Auni ambil suntikan MMR. satu lagi vaksin yang biasanya disuntik pada usia 1 tahun. sudah. Auni sudah ambil. kata doktor, sekiranya alahan kepada telur, ketika suntik MMR akan mengalami reaksi segera. dari kegatalan hinggalah kepada tidak sedarkan diri. ada sesetengah kes yang disahkan alahan, untuk suntikan MMR, disediakan segala keperluan kecemasan sebelum suntikan. dan selepas suntikan, perlu tunggu di hospital selama satu jam untuk memastikan tiada apa yang berlaku.

tapi apabila Auni tidak mengalami apa-apa trauma selepas suntikan MMR, bermakna tiada alahan kepada telur. saya pun sebenarnya rasa begitu juga. kerana apabila Auni makan kek ataupun biskut, tiada sebarang reaksi. sudah pasti dalam kek ada telur.

beralih kepada elemen lain di dalam makanan Auni sabtu lalu. Kicap. doktor menanggarkan kemungkinan Auni alah kepada bahan pengawet dan pewarna yang ada dalam kicap. sememangnya sebelum ini tidak pernah makan kicap. dan syak ini dikuatkan lagi dengan sebelum ini Auni pernah kena ruam gatal selepas makan makanan bayi jenama terkenal berperisa rasberi. tak sampai setengah jam selepas makan, bengkak bibirnya, gatal-gatal seluruh badannya. tapi satu sahaja yang tiada ketika itu, sesak nafas.

kata doktor lagi, sekiranya alahan sehingga menyebabkan sesak nafas, perlu berhati-hati dengan apa yang dimakan oleh Auni. kemungkinan dia mengalami sesak nafas bila berlaku alahan mungkin ada. saya tanya doktor. bolehkah sekiranya Auni diserang sesak nafas, saya berikan dia Ventolin Inhale kepunyaan abangnya, Fakhri. kata doktor boleh. tapi sekiranya tidak mencukupi, yang mana kebiasaannya berlaku, perlu juga datang ke klinik untuk nebulizer. cumanya, inhaler itu bolehlah digunakan untuk mengurangkan kesan sesak nafas sementara waktu.

jadinya, sekarang ini perlulah berhati-hati dengan apa yang dimakan Auni. sekiranya ke luar kawasan, perlulah juga memastikan kedudukan hospital atau pusat perubatan 24 jam yang terdekat dan jalan ke sana. Ventolin Inhale yang sememang sentiasa dibawa kerana keperluan Fakhri, sekarang perlu dikongsi dengan Auni sekiranya perlu.

dugaan dan cabaran. itulah kehidupan. insyaAllah alahan ini akan hilang apabila Auni semakin besar yang mana kata doktor, ada juga kemungkinannya. insyaAllah.

dua tahun dahulu

masih lagi baru rasa. sungguh cepat masa berlalu. masih ingat lagi. waktu ini hari ini dua tahun lepas. sedang berada di klinik. menunggu giliran dipanggil doktor. semalam pergi makan angin bersama. tapi terpaksa dipendekkan kerana umi tiba-tiba sakit. yang amat sangat katanya. dan pada ketika sakitnya menyerang, aku mengambil gambarnya. masih lagi tersimpan baik gambar itu. gambar mukanya berkerut-kerut menahan kesakitan yang amat sangat. akan disimpan dengan baik gambar itu.

malamnya tidur seperti biasa. kalau diikutkan jadual, sebetulnya esok baru bertemu dengan doktor untuk pemeriksaan berkala bulanan. akan tetapi kata umi, kandungan sangat kurang pergerakkannya. bimbang apa-apa akan terjadi, itu yang kami ke klinik. walaupun awal sehari.

tak sangka pula sebenarnya kesakitan semalam itu ada tanda pertama sakit hendak melahirkan. ah. sungguh tiada pengalaman. tetapi alhamdulillah. semuanya selamat. setelah pelbagai rintangan dan halangan, dugaan dan cabaran yang dihadapi, seorang bayi comel seberat 3.5kg dilahirkan tepat dikala muazzin mengalunkan azan maghrib. alhamdulillah.

dan sekarang, hari ini, dia sudah pun dua tahun. SELAMAT HARI LAHIR FAKHRI.

alahan

petang semalam, saya dengan gembiranya melihat Auni makan disuap oleh salah seorang ibu saudaranya di kampung. begitu bersungguh sekali dia makan. banyak juga nasi dihabiskan. walaupun hanyalah berlaukkan telur goreng dan kicap.

ketika dah agak lama dia makan, ibu saudaranya bertanya. kenapa mulutnya ni nampak macam bengkak? merah-merah pulak matanya. masa itu tidak perasan lagi. belum betul-betul memerhatikan. hinggalah bila umi memberitahu, nafas Auni agak berat. ya. memang pendek-pendek sahaja tarik nafasnya. diam sahaja dia tanpa keluarkan suara. hanya dadanya sahaja berombak kencang setiap sedutan nafas.

saya terus bergegas ke klinik. diagnosis awal doktor, alahan. tapi tidak pasti apa penyebabnya. kemungkinan besar, telur. mungkin. selepas diberi satu sedutan ventolin, nafas Auni kembali seperti sedia kala. dia pun mula menggaru. gatal barangkali.

sesampai di rumah, nafasnya sudah kembali teratur. tetapi ruam mula kelihatan. kedua cuping telinganya merah menyala. perutnya penuh dengan ruam gatal. kasihan dia tergaru-garu. selepas beberapa minit sapuan ubat pada tempat gatal, Auni kembali ceria. dia kembali bermain-main semula. senyum telah kembali ke bibirnya.

akan tetapi lain pula yang jadi. malam itu, dia tidur jam 3 pagi. aduhai Auni!!!

09 January 2010

pencapaian

hari ini alhamdulillah genap setahun lagi usia bertambah. saya pernah dengar satu ketika, kata seorang yang berilmu, tahun bertambah bukannlah sesuatu yang besar yang perlu disambut meriah tanpa sedar. boleh disambut meriah. tapi perlu dengan sedar. sedar yang setahun lagi bertambah, mendekatkan kita dengan mati. kuota umur yang Allah beri dah berkurang setahun lagi. ingat MATI, hidup lebih berjaya. insyaAllah.

selepas lebih 3 dekad hidup, saya duk mengira-ngira. setakat manakan pencapaian yang telah dicapai. sebanyak mana pula telah memberi. teringat pula kata-kata watak dalam cerita Laskar Pelangi, Pak Harfan. Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya. ya memang tepat sekali.

pandangan saya. bila kita menerima kita makan budi. kata orang melayu, makan budi tergadai body. entahlah sapa nak body saya ni. tapi bila kita memberi, kita tidak terikat dengan apa-apa. janji pemberian itu ikhlas.

Alhamdulillah. keluarga bahagia. isteri ada. anak ada. rumah ada. kerjaya ada. untuk diri saya rasanya semua sudah cukup. dari segi keperluan. bukan kehendak. jadinya, sekarang pula giliran saya untuk memberi. insyaAllah akan cuba sedaya-upaya untuk memberi sebanyak-banyak. bak kata Pak Harfan.

08 January 2010

hubungan alam maya

semalam saya dan keluarga siap-siap untuk keluar untuk pergi membeli dan mendaftarkan diri bagi menerima perkhidmatan jalur lebar. sedang saya menutup pintu pagar, ternampak jiran berjalan pulang ke rumah. saya tegur dia mendekat. katanya dah boleh cuba WiFi kemudian beritahu bagaimana prestasinya.

ah. baru mahu keluar dapatkan jalur lebar. WiFi komuniti dah boleh digunakan. kelajuan? 4MB. alhamdulillah!!!

kisahnya...

Lebih 30 tahun dahulu. Suatu tengahari yang terik. Kedengaran riuh-rendah suara perempuan. Suara seolah-olah meneran dan menahan kesakitan yang amat sangat.

Lebih kurang 2 tahun dahulu. Suatu petang remang mentari hendak tenggelam. Kedengaran riuh-rendah suara perempuan. Suara meneran dan menahan kesakitan yang amat sangat.

Bergema suara azan dari corong masjid. Bersekali dengan gema suara tangisan bayi yang baru menjengah bunyi. Azan zohor dan azan maghrib.

Lahirlah dua bayi yang disambut dengan azan. Semoga terus menerus mengekkan kalimah Allahuakbar sehingga akhir hayat.

07 January 2010

keganasan

bila saya baca dalam suratkhabar kelmarin, beritanya sungguh menyayat hati. mengerikan pun ada. bila baca suratkhabar pagi ini, lagilah terasa sedih. apa agaknya yang menyebabkan perlakuan jadi begitu? sakit hati? sakit jiwa? tekanan perasaan? ataupun halusinasi? biarlah orang yang berkenaan mencari jawapan.

dalam laporan tu lagi, katanya kepala salah seorang mangsa ditanam di Shah Alam. dari Gemencheh naik motor ke Tampin kemudian naik bas ke Kuala Lumpur dengan kepala orang dalam tangan.memang ada sesuatu yang tidak kena pada dia. mesti dicari sebab musababnya.

hai entah apa nak jadi.

06 January 2010

panas lagi

ini bukan cerita yang sama. panas kali ni betul-betul panas. panas terik mentari. dalam bahasa inggerisnya, climate change. perubahan cuaca. kenapa pulak tiba-tiba saya mengisahkan perubahan cuaca ni? bukan apa. tadi baru saja mendengar ceramah dari seorang professor dari India yang terlibat secara tentang perubahan cuaca ini. lebih tepat lagi tentang pengurusan tenaga. yang orang duduk sibuk-sibuk ni. tenaga hijau.

bukanlah minat sangat dengan apa yang paparkan. bukan kerana tak bagus. tapi kerana memang dah tahu pun begitu. yang aku minatnnya adalah bila dia menjawab soalan. suka aku dengar bila dia jawab soalan seorang pendengar. kata pendengar itu dia datang ke sini dari san fransisco semata-mata nak dengar ceramah professor ini. impressed! dia tanya berkenaan dengan orang-orang yang sinikal. sceptics. adakah mereka ini skeptik kerana memang azali begitu atau ada sebab-sebab lain?

jawapan dia memang tepat dan padat. pedas. panas. katanya, yang memang azali skeptik tak boleh nak buat apa lah. memang akan ada dari setiap zaman, bila berlaku perubahan, orang yang sebegini. cuba menentang. sejarah dah membuktikan. di Eropah dulu zaman gelap, ada yang kena ikat di pancang kayu dan dibakar kerana bersalahan pendapat dengan tanggapan umum. tapi ramai yang sebenarnya tahu tapi tetap skeptik kerana agenda tersendiri. professor tu bagi contoh di Amerika sangat banyak pelobi yang ditaja oleh syarikat-syarikat yang berkepentingan supaya akta atau undang-undang berkenaan iklim, cuaca ini memihak kepada mereka.

hatta disebutnya nama-nama orang tertentu dalam kongres Amerika. ada seorang senator itu membawa seorang professor dari sebuah universiti terkemuka di Amerika untuk memberikan testimoni bersalahan dengan teori sains berkenaan perubahan cuaca ini. dan bila ditanya adakah anda tahu testimoni anda salah? dia mengaku ya, tapi tetap dengan pendiriannya. kemudian dibawa satu bukti yang menunjukkan pusat penyelidikannya menerima US$1 juta setahun dari sebuah syarikat yang mempunya kepentingan.

jadinya, kalau ini berlaku dan memang berlaku, bukan dalam filem hollywood, apa agaknya yang akan berlaku kepada dunia ini ya? sama-sama kita fikirkan.

panas

biarlah ini yang menjadi catatan pertama. satu topik yang saya rasa mungkin panas di telinga sesetengah orang. akhir-akhir ini makin ramai yang mula memakai tudung. alhamdulillah bagus. sangat bagus. terbuka hari mereka untuk melaksanakan dengan sempurna tututan agama. tapi saya pula lain bila melihat ramai yang bertudung sekarang ini. bukan lain apa. lain macam jer rasa. terus teringat sesuatu yang pernah Nabi kita katakan. akhir zaman nanti ramai yang berpakaian tetapi telanjang. oh... sudah dekat dengan akhir zaman rupanya kita.

kenapa dikatakan berpakaian tetapi telanjang? bukankah sudah sempurna dengan tudung, baju dan kain? atau sesetengah itu seluar? dah tutup semua kan. yang nampak hanyalah tangan dan muka sahaja. kaki tu tak pakai stokin pun dah tutup dengan kasut. tak nampak jugak. ya betul. tutup. tapi tutup kulit saja. jangan marah saya bila saya berkata begitu. memang benar. yang tak nampak hanyalah kulit sahaja. bulu roma termasuk.

tapi yang lain semua nampak. teringat pulak saya pada kata-kata arwah ustaz ishak baharom. pakai baju seluar tapi nampak habis segala lekuk bonjol sana-sini. ya betul. nampak. bonjol sana. lekuk sini. mungkin ada yang kata saya ni kurang betul sikit. apa istilahnya, mata keranjang? aha. memanglah. sebab saya lelaki normal. bukan saya saja kot. ramai lagi yang lain pun begitu. lelaki normal yang saya maksudnya. bukan nya mak tak kuasa.

jadi fesyen pulak sekarang ini pakai apa nama pun saya tak tahu. yang ketat melekat kat badan tu. warna putih hitam segala. lengan panjang. jadi tutup la semua sampai ke tangan. tapi kat luar? pakai baju kemban tali halus sangkut ke bahu. terjojol sana-sini. seluar? tak payah cakap. dah lah ketat. jarang tu pulak kadang-kadang. aduhai. hairan sungguh saya tengok. kenapa yer?

lagi baik kalau tak payah pakai terus kan. tapi tak menarik la pulak tak pakai. tak ada warna-warni. mungkin juga.

tapi itulah. besar dugaan lelaki akhir zaman ni. memang kena istighfar 100 kali setiap lepas solat waktu. kalau tak, tergugat keimanan.

apapun, begitulah akhir zaman. taklah saya salahkan mereka. mungkin 'kurang ajar'. tak cukup ilmu. atau munkin tak cukup iman. nak menegur ubah orang sukar nak berlaku. jadi, baik cuba kawal ubah diri supaya tidak terlalu asyik melihat sana-sini. jaga pandangan. aduhai.. dugaan!

05 January 2010

Timbul tenggelam

tahun 2005 dulu ada tulis blog. selepas setahun lebih berhenti. atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. dalam masa setahun tu ramailah juga kenalan alam siber yang dicipta. terpaksa menghilangkan diri dari alam siber seketika. walaupun sekarang ini masih lagi mengikuti perkembangan rakan-rakan.
kemudian tahun 2009 mula menulis semula. dua tiga catatan, terus hilang kembali. kali ini bukan kerana menghilangkan diri. tetapi dihilangkan oleh kehadiran sesuatu yang baru. muka buku.
sekarang ini tahun baru, 2010, terasa seperti perlu menulis semula. terasa banyak perkara yang boleh dikongsi bersama. pengalaman hidup. pembacaan. penemuan baru. atau semata-mata meluahkan rasa. sebab itulah dikatakan timbul tenggelam. kita tengoklah sekarang. timbul terus terapung belayar meluncur laju atau tenggelam terus terperosok ke dasar.

wassalam.